Langkau ke kandungan utama

4 Teknik Belajar Berdasarkan Kajian Psikologi

Image result for studyingAssalamualaikum dan salam sejahtera untuk pembaca semua. Memandangkan kita masih berada dalam awal tahun, maka bolehlah dikatakan bahawa para pelajar terutamanya yang akan menghadapi peperiksaan utama masih mempunyai masa yang agak banyak untuk membuat persediaan. Selain daripada menumpukan perhatian di dalam kelas, pakar psikologi mendapati bahawa cara-cara berikut dapat meningkatkan potensi pelajar.

1. TEKNIK NOMBOR AJAIB 7±2
Kajian psikologi yang terdahulu mendapati bahawa seorang manusia normal dapat menghafal sebanyak 5-9 maklumat yang berbeza dalam satu-satu masa dan menyebutkannya semula tanpa sebarang masalah (Miller, 1956). Mengikut logik, memang tidak hairanlah menghafal maklumat yang banyak adalah lebih sukar berbanding maklumat yang sedikit tetapi kita perlu tahu berapakah bilangan yang dianggap sebagai terlampau banyak sehingga menyebabkan potensi pelajar merudum?

Mengikut kajian psikologi, untuk manusia biasa menghafal

durian, manggis, mangga, kelapa, cempedak, nangka, rambutan, anggur, epal;

adalah lebih senang berbanding menghafal

durian, manggis, mangga, kelapa, cempedak, nangka, rambutan, anggur, epal, malberi, pear, barli, limau.

Oleh itu, para guru boleh cuba untuk memaparkan 7 maklumat berlainan (maksimum) dalam satu-satu masa untuk memastikan potensi memori jangka pendek pelajar digunakan secara optimum dalam pembelajaran. Para pelajar juga boleh mempraktikkan kaedah yang sama apabila membuat ulangkaji dan jika kaedah ini digunakan, maka para pelajar dinasihatkan agar mula mengulangkaji dari awal tahun dan jangan tangguhkan sehingga ke hujung waktu.

2. TEKNIK PENGELOMPOKAN (CHUNKING)
Selain daripada bilangan maklumat, saintis yang sama juga mencadangkan bahawa maklumat atau fakta-fakta adalah lebih mudah diingat apabila disusun mengikut kelompok. Chunking, atau pengelompokan ialah proses menggabungkan maklumat-maklumat berlainan kepada unit yang membawa maksud kepada pengguna (Miller, 1956). Secara praktikalnya,

6275660017 adalah lebih sukar diingat berbanding 017 276 0656 kerana jika tidak disusun, maka maklumat yang diberikan adalah dilihat secara rawak dan tidak memberikan sebarang makna. Sebaliknya, apabila nombor tersebut dikelompokkan, ia akan membentuk nombor telefon dan lebih mudah untuk dihafal dan beban kognitif yang ditanggung oleh memori jangka pendek kita pun berkurangan.

Keberkesanan teknik chunking adalah bergantung kepada bilangan "chunks" yang kita bina iaitu (017), (276), dan (0656) di mana saiz tersebut perlu mengikut teknik nombor ajaib. Bilangan elemen yang terkandung dalam setiap chunk pula adalah tidak terhad (Sweller et al., 1998)

Secara praktikalnya, para pelajar boleh cuba untuk kelompokkan nama-nama penting dalam buku teks Sejarah. Kelompokkan nama penjajah Inggeris, Belanda, Portugis, Jepun, supaya mudah untuk anda ingat mengikut turutan peristiwa dan nama individu yang terlibat.

3. TEKNIK PEMPROSESAN TERAGIH (DISTRIBUTED PROCESSING)
Dalam konteks sistem komputer, distributed processing boleh dijelaskan sebagai beberapa komputer atau prosesor yang digunakan untuk menjalankan sesebuah aplikasi. Dalam konteks psikologi pula, ia bermaksud 2 subsistem memori jangka pendek yang digunakan untuk memproses maklumat. Subsistem tersebut ialah:

  • visuo-spatial sketchpad - memproses/menyimpan secara sementara maklumat dalam bentuk imej
  • phonological loop - memproses maklumat/ menyimpan secara sementara maklumat dalam bentuk bertulis atau lisan

Mengikut kajian psikologi, setiap subsistem beroperasi tanpa kesan buruk kerana mereka berfungsi secara eksklusif (Baddeley, 2001). Oleh itu, Moreno dan Duran (2004) berpendapat bahawa jika kedua-dua subsistem ini diaktifkan ketika belajar, maka murid akan dapat belajar dengan lebih berkesan.

Untuk memanfaatkan pengetahuan ini, penyampaian ilmu perlu disampaikan dengan menggunakan imej/alat yang berupaya menarik minat tetapi relevan dengan topik yang disampaikan. Guru biologi boleh menggunakan manikin anatomi semasa menjelaskan proses pencernaan agar aliran pemprosesan makanan dapat difahami dengan lebih jelas. Untuk pelajar pula, nota dan ulangkaji bolehlah disertakan dengan gambar lukisan yang berkaitan dengan topik tersebut seperti melukis gambar nenas di atas peta Johor dalam matapelajaran Geografi.

4. MEMBINA KEAUTOMATIKAN (AUTOMATICITY)
Automaticity ialah kebolehan untuk melakukan operasi mental dengan menggunakan usaha atau kesedaran yang tinggi seperti proses aktif yang lain (Feldon, 2007). Contoh keautomatikan ialah seseorang yang telah mahir menggunakan papan kekunci komputer tanpa perlu lagi untuk melihat kepada aksara yang digunakan seperti waktu dia mula-mula belajar dahulu.

Dalam konteks pembelajaran, para pelajar perlulah membiasakan diri untuk bertutur dalam Bahasa Inggeris dan mengetahui maksud-maksud perkataan yang biasa digunakan dalam perbualan supaya beban muatan kognitif dapat dikurangkan dan digunakan untuk proses lain seperti memahami konteks ayat dan juga mengesan kesalahan tatabahasa.

Walaupun 4 teknik ini mempunyai asas kajian psikologi yang menyokong keberkesanannya, namun pelajar harus ingat bahawa faktor lain yang disarankan oleh guru dan pakar motivasi seperti belajar berkumpulan juga merupakan cara yang memberikan kesan positif kepada potensi pelajar. Kesimpulannya, para pelajar perlu berusaha keras dan mengamalkan cara pembelajaran yang pelbagai untuk berjaya dalam peperiksaan.

-----------------------
RUJUKAN:
1. Miller, G. A. (1956). The magical number seven, plus or minus two: Some limits on our capacity for processing information. The Psychological Review, 63 (2), pp. 81-97.
2. Sweller, J., van Merrienboer, J., & Paas, F. (1998). Cognitive architecture and instructional design. Educational Psychology Review, 10, 251-296.
3. Moreno, R., & Duran, R. (2004). Do multiple representations need explanations: The role of verbal guidance and individual differences in multimedia mathematics learning. Journal of Educational Psychology, 97(1), 117-128.
4. Feldon, D.F. (2007a). Cognitive load and classroom teaching: The double-edged sword of automaticity. Educational Psychologist, 42, 123-137.

Ulasan

Paling Popular

Auta Psikologi: Kalau Kita Mimpikan Seseorang Tandanya Dia Rindukan Kita

The biggest auta yang paling ramai orang sebarkan. Yes you read it right. Sebenarnya bila ada orang kata yang bila kita mimpikan someone, itu tandanya dia sedang rindukan kita; sebenarnya itu bukanlah fakta psikologi, bukan fakta sains dan bukan fakta mana-mana logik yang boleh diterima akal saintifik. Terima kasih kepada Tumblr dan Twitter yang dikhususkan kepada gadis-gadis yang suka kepada "fakta" yang kedengarannya macam best. Betul, benda ni macam "alahai sweetnya" tapi kalau benda tu sweet macam mana pun, tak bermakna dia betul. Sekali lagi saya menegaskan, ini bukan fakta. Ini tipu Sebagai satu cara untuk menyokong pernyataan yang benda ni tipu, mungkin anda boleh cari dalam mana-mana buku psikologi atau artikel journal psikologi dan hubungi saya pada tab yang disediakan di atas tu. Sebabnya, saya dah puas cari dalam database APA, ScienceDirect, PSYCINFO, EBSCO dan lain-lain namun tiada hasil. Kalau nak keluarkan fakta, artikel journal mestilah diterbit...

Halatuju Psikologi Selepas SPM

Ramai yang bertanya tentang halatuju selepas SPM untuk menceburkan diri dalam SPM. Masa bertugas di sebuah sekolah di Kulaijaya hari tu pun ada beberapa pelajar yang menunjukkan minat yang mendalam terhadap psikologi tapi kelihatan kekurangan informasi. Saya sendiri tak berapa tahu memandangkan psikologi bukanlah pilihan pertama dalam otak lepas SPM dulu dan saya tak belajar di Malaysia tapi "it grows  on me" bak kata omputeh. Sebab kedua ialah, lihat biodata di sidebar kanan. Kalau ada yang tersilap boleh tambahkan di bahagian komen dan saya akan update dalam post bila informasi tu dah disahkan betul. Untuk pengetahuan umum, of course psikologi tidak ditawarkan pada peringkat matrikulasi , jauh sekali ditawarkan untuk peringkat SPM dan seperti biasa, SPM tu merupakan tiket paling penting sebelum masuk ke tertiary education. Sila baca: Hakikat SPM yang remaja Malaysia wajib tahu . Jadi sekarang ni psikologi hanyalah ada di peringkat diploma dan ke atas (ijazah, Master...

Ujian Sahsiah Psikologi Percuma

Ujian sahsiah, atau personality test ialah sejenis ujian psikologi yang yang menunjukkan bagaimana tahap kita dalam sifat-sifat tertentu. Biasanya kalau kita nak ceritakan pasal diri sendiri, mungkin kita akan menceritakan diri kita seorang yang baik atau jahat, peramah atau sombong dan sebagainya. Tapi saintis dalam bidang psikologi  dia ada keluarkan cara untuk mengklasifikasikan perwatakan manusia supaya senang untuk kita seragamkan tentang jenis-jenis manusia yang ada di muka bumi ni Dan bila bercakap pasal ujian sahsiah, maka biasanya keputusan selepas buat personality test tu akan ditunjukkan dalam 5 domain iaitu openness, conscientiousness, extraversion, agreeableness, dan juga neuroticism. Sebab most personality test dibuat dengan menggunakan Big Five ni Secara ringkas, 1. Openness - kesediaan seseorang untuk perkara-perkara baru 2. Conscientiousness - ketersusunan (ada ke perkataan ni?) hidup seseorang 3. Extraversion - cara pergaulan seseorang. Extrovert ke int...