Asssalamualaikum semua. Ha lama betul aku tak kemaskini blog ni disebabkan tuntutan kerja dan peribadi yang tinggi. Sangat sibuk sekarang ni walaupun keadaan tak berapa mengizinkan untuk buat program bersemuka. Tapi disebabkan adanya program dalam talian maka kesibukan tu jadi bertambah. Tapi tak apalah, selagi kita boleh tolong orang, kita tolong. Dibayar gaji pulak tu huhu
Semalam aku ada nampak satu perbincangan pasal homeschooling di mana ada segelintir mak bapak yang memilih untuk tak hantar anak ke sekolah. Tak kisahlah sekolah kerajaan ke swasta ke mereka tak nak hantar. Mungkin disebabkan situasi endemik COVID-19 kita yang entahlah bila nak selesai ni. Moga varian yang akan datang menjadikan kesan jangkitan tak signifikan. Amin.
Jadi, persoalannya, boleh ke anak kita tak payah hantar ke sekolah dan buat homeschooling sahaja?
Hal ni agak kompleks kalau kita nak jawab boleh ataupun tidak begitu sahaja sebab dalam apa jua keadaan pun, ada perbincangan yang panjang lebar mengenai sesuatu dasar. Untuk kes ini, kita rujuk kepada punca kuasa yang paling tinggi iaitu AKTA dan akta yang terlibat ialah Akta Pendidikan Kanak-Kanak 1996
Secara ringkasnya, akta ni kabor kat kita,
- Pendidikan sekolah rendah adalah wajib iaitu pada Darjah 1
- Ibu bapa warganegara wajib daftarkan anak untuk Darjah 1 pada umur anak tu 6 tahun
- Kalau tak patuhi peraturan ini maknanya mak pak bersedia untuk didenda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum 6 bulan, atau kedua-duanya sekali
Jadi di sini kita dah nampak bahawa tak menghantar anak ke sekolah adalah satu kesalahan dari segi undang-undang. Namun begitu, ibu bapa ada je pilihan untuk homeschooling tetapi tafsirannya pada Kementerian Pendidikan Malaysia mungkin berbeza dengan apa yang ada dalam fikiran kebanyakan kita.
Homeschooling atau persekolahan di rumah adalah mod pembelajaran anak-anak yang diajar di rumah. Sekolah itu sendiri merupakan satu perkataan yang merujuk kepada proses dan prosedur, bukannya sejenis bangunan. Jadi, belajar di rumah masih merupakan satu bentuk persekolahan. Walau bagaimanapun, Kementerian Pendidikan Malaysia ada terbitkan garis panduan berkenaan homeschooling ini; petikan di bawah:
Secara ringkasnya,
- Anak yang sakit sahaja boleh mohon pengecualian ke sekolah. Tak semestinya lulus kalau dah mohon.
- Salah seorang dari mak bapaknya kena sanggup mengajar dan mesti ada kelayakan mengajar
- Kalau anak tu mampu pergi tuisyen maknanya dia mampu untuk ke sekolah. Sesetengah penyakit nak jumpa orang pun sebab tu klausa ni ada.
- Kamu ada kabel cekang di PPD/JPN? Tak ada maknanya semua tu sebab permohonan kena diulas keperluannya oleh Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia dan diangkat ke Menteri Kanan Pendidikan.
- Kena guna kurikulum kebangsaan sama macam sekolah ui. Yang membezakan sekolah di rumah ni hanyalah lokasi dan tenaga pekerja.
Di sini kita boleh simpulkan bahawa kalau kita tak hantar anak ke sekolah walaupun anak tu sihat walafiat, memang tak bolehlah dan tak dibenarkan. Walaupun kita belum pernah dengar ibu bapa didakwa tak menghantar anak ke sekolah, tapi sekiranya sesuatu terjadi dan persekolahan anak dijadikan isu, maka akta dan dasar-dasar inilah yang kita rujuk sebagai punca kuasa.
SOALAN TERBITAN
1. Anak saya ada Down Syndrome. Boleh ke saya tangguh hantar anak ke sekolah untuk beberapa tahun
Tak boleh. Sebaiknya kita serahkan kepada guru-guru pendidikan khas kita yang terlatih walau apapun jenis diagnosis anak itu.
2. Anak saya baru dapat alat bantu dengar (ABP). Boleh ke saya tangguh pendidikan supaya saya dapat latih dia mendengar dan bercakap di rumah dulu?
Tak boleh. Selain pembelajaran formal dalam bilik darjah, murid juga belajar melalui pembelajaran secara sosial yang khususnya melibatkan rakan-rakan sebaya. Di situ juga dia akan belajar bergaul, mengenal dan mengawal emosi, pertuturan, dan sebagainya. Maka, sebaiknya kita masukkan anak ke sekolah supaya potensi perkembangannya dapat dimaksimumkan.
3. Saya sengaja tak hantar anak ke sekolah takde pun kena tindakan apa-apa setakat ini?
Ya saya setuju encik/puan BELUM lagi dikenakan sebarang tindakan setakat ini.
Ini adalah antara soalan-soalan yang kerap ditanya. Malah aku baru sahaja jawap dalam dua sesi berlainan dalam satu program bicara yang melibatkan institusi swasta. Semua jawapan dan penerangan
tu dibuat setelah dirujuk pada sumber yang terdapat dalam laman web KPM. Sebagai seorang pegawai di ehem ehem, maka dah jadi tanggungjawab aku la untuk jawab apabila diajukan soalan-soalan tu dan aku kira ramai juga yang mempunyai persoalan sama.
Wujudnya akta dan dasar-dasar begini sebenarnya adalah untuk melindungi hak kanak-kanak dan memastikan perkembangan mereka terjamin. Sebagai seorang penjawat awam, aku terikat dengan akta dan peraturan yang ditetapkan dan segala penjelasan aku adalah berdasarkan dokumen hitam putih yang dah diterbitkan
Sekian.
Test
BalasPadam