Semasa waktu peralihan kelas, Ali lewat keluar disebabkan dia memerlukan waktu untuk mengemas alatan yang diperlukan. Selepas kira-kira 3 minit, Ali pun tiba di makmal untuk mengikuti kelas Sainsnya di sekolah.
Selepas 2 jam, rakannya, Ah Chai, telah kehilangan wang yang disimpan dalam beg. Disebabkan Ali yang terakhir keluar dari kelas, maka dia disoal siasat oleh Cikgu Devi.
-------
Cikgu Devi: Ali, awak lambat keluar kelas, kan? Mesti awak yang ambil duit Ah Chai, kan? Mengaku cepat!!
Ali: Berapa kali saya nak cakap saya tak ambil! Saya tak ambillah!!
-------
Ali menghempas meja dan perbuatannya ditafsirkan sebagai bersalah. Yalah, kenapa lagi Ali perlu mengamuk sekiranya dia tak buat apa yang dituduh keatasnya?
Situasi macam ni mungkin pernah anda temukan di tempat anda baik di sekolah, tempat kerja, mahupun di rumah sendiri. Sekiranya anda tak pernah jumpa, alhamdulillah saya ucapkan. Tetapi, kerap kali emosi marah yang kita tunjukkan ketika kita dituduh ditafsirkan sebagai satu bentuk pengakuan yang kita telah membuat kesalahan tersebut.
Decelles et al. (2021) pun buatlah satu kajian menarik yang menyiasat sama ada betul ataupun tidak bahawa orang marah dilihat lebih bersalah daripada orang yang menjawab pertuduhan dengan tenang. Jadi, mereka mendapati bahawa:
- Orang yang marah dengan pertuduhan dinilai sebagai lebih bersalah berbanding orang yang tersinggung.
- Orang yang marah apabila dituduh dinilai sebagai bersalah oleh ahli bidang seperti polis dengan lebih kerap berbanding orang yang menjawab dengan tenang.
Jadi, adakah penyelesaiannya adalah dengan hanya jangan jadi marah? Tidak begitu senang ya, sebab kajian itu juga mendapati yang:
- Orang yang dituduh buat kesalahan (tapi tak buat) lebih cenderung tinggi untuk berasa marah berbanding mereka yang dituduh tapi buat kesalahan tersebut tanpa mengira tahap kesalahan yang dituduh. Tak kiralah kesalahan meniru atau mencuri, semuanya menunjukkan keputusan yang sama
Jadi kita boleh simpulkan di sini, bila kita tuduh orang melakukan kesalahan, mereka akan cenderung untuk marah; dan kemarahan dia tu akan membuatkan kita cenderung untuk fikir yang mereka memang betul-betul bersalah walaupun mungkin mereka tak buat pun. Menariknya kajian ni sebab ia merupakan satu perkara yang boleh digunakan dalam kehidupan seharian kita.
Pertuduhan mesti berasaskan fakta dan bukti dan bukannya emosi
DeCelles, K. A., Adams, G. S., Howe, H. S., & John, L. K. (2021). Anger Damns the Innocent. Psychological Science, 32(8), 1214–1226. https://doi.org/10.1177/0956797621994770
Ulasan
Catat Ulasan
Komen yang nak diletakkan lepas 14 hari selepas entri tu diterbitkan, akan diletakkan dalam mod pengesahan terlebih dahulu untuk mengelakkan spamming