Hari ni tak banyak kerja sangat dan minggu depan pula hanya melibatkan aku menyampaikan 1 mesyuarat dan 1 bengkel pendidikan. Selepas berminggu-minggu lamanya barulah aku ada ruang untuk tulis satu artikel untuk blog yang dah lama aku tak sentuh ni. Sekarang aku cuba nak terapkan tabiat baru dalam kehidupan seharian aku - iaitu dengan mendengar ceramah motivasi atau ilmiah masa memandu ke pejabat. Perjalanan dari rumah ke pejabat mengambil masa sekurang-kurangnya 30 minit maka aku ada masa yang cukup untuk mendengar 1 ceramah TedTalk dan sebagainya
Jadi pagi ini aku pun buka Youtube dan dengarlah ceramah apa yang ada di situ terutamanya yang berkaitan dengan tingkahlaku dan perilaku manusia sebab itu bidang profesional aku. Disebabkan aku keluar rumah agak lambat, maka tersangkutlah aku dalam kesesakan jalanraya luar bandar di Sabah dan dapatlah aku dengar 2 TedTalk. Tak adalah buang masa dan menyebabkan aku berada dalam keadaan stress, kan?
Satu video adalah berkenaan Sokongan Tingkahlaku Positif dan satu lagi berkenaan Rahsia Mengawal Diri. Kedua-duanya sangat menarik dan ada merit masing-masing tapi aku nak ulas tentang kawalan diri sahaja sebab aku rasa kau, mereka, dan kita, ada masalah dalam mengawal diri.
Macam mana nak tahu kita ada masalah kawalan diri? Bila kita bermalas-malasan, makan dengan tak terkawal (ya, aku pun ada masalah ini!), mengamalkan cara hidup yang tak sihat dan sebagainya. Dalam satu perspektif, tabiat buruk ni adalah apa-apa sahaja keadaan yang memudaratkan seperti merokok, bangun tidur lambat, suka bermasturbasi, dan banyak lagilah amalan buruk yang korang boleh fikirkan dan telah pun menjadi sebahagian daripada tabiat buruk kita. Untuk aku, tabiat buruk aku ialah bertangguh kerja hehe. Tipulah kalau korang tak pernah menangguhkan kerja, kan? Tapi bagi aku, tahap bertangguh kerja aku ni berada di paras yang lain dan ia merupakan satu masalah yang cukup besar sejak 5 tahun lalu.
Kenapa Amalan Buruk Menjadi Tabiat?
Amat penting untuk kita tahu tentang latar belakang sesuatu perkara sebelum kita cuba untuk menyelesaikannya. Inilah amalan yang diguna pakai oleh ahli terapi. Walaupun sesuatu diagnosis itu telah pun diketahui ciri-cirinya depan sampai belakang, namun tetap juga kami kena ketahui perasaan dan latar belakang klien untuk lebih memahami sesuatu kes tersebut. Apakah faktor biologi dan faktor sekeliling yang menyebabkan kejadian itu? Adakah ia boleh diubah? Adakah ia boleh membantu perkembangan kes?
Dalam mengubah tabiat buruk, kita kena tahu apakah yang menyebabkan kita buat perbuatan tersebut untuk pertama kalinya dan apakah faktor-faktor yang menyebabkan kita mengekalkan perbuatan tersebut hingga menjadi amalan?
Kebiasannya tingkahlaku menjadi amalan kerana ia merupakan ganjaran kepada kita
Mari kita berfikir sejenak tentang ayat di atas. Amalan buruk kita wujud adalah disebabkan ia memberikan faedah kepada kita.
Faedah jenis apa? Faedah jangka pendek
Contoh, lima tahun lepas, aku terlampau sibuk dengan aktiviti luar hinggakan tugasan hakiki aku tak dibuat selama dua minggu. Tapi aku tak dikenakan sebarang tindakan walaupun tugasan tu aku tak siapkan. Keadaan ini pula berlanjutan hingga 2 bulan lamanya.
1. Aku penat, maka aku nak rehat. Rehat adalah ganjaran untuk aku pada permulaannya
2. Aku tak penat tapi aku tetap nak rehat. Rehat pada kali ini bukan ganjaran untuk usaha kuat yang membuatkan aku penat, tetapi kepada pemikiran yang aku boleh tangguhkan kerja
Situasi (2) inilah yang ramai orang tak sedar sebab sifat negatif atau mazmumah kita ni pandai berselindung di sebalik satu keadaan lain untuk kita halalkan perbuatan kita tu. Lama-kelamaan, situasi (2) ini akan membentuk tabiat yang berkekalan jika kita tidak tahu rahsia cara untuk mengawal diri sendiri.
Mungkin ada yang berpendapat bahawa mengalihkan perhatian kita daripada tabiat buruk sudah cukup. Katanya, nak berhenti merokok adalah berkesan dengan mengalihkan perhatian kita daripada rokok. Ini kurang berkesan disebabkan faktor persekitaran kita yang kurang membantu dalam memberhentikan tabiat buruk tersebut.
Apabila satu pemikiran tabiat buruk itu hadir, dia memerlukan kita untuk memenuhi kehendaknya. Untuk kita menghilangkan perasaan mengidam melakukan tabiat buruk tersebut dan ini ialah proses yang berulang-ulang dan ulang ulang lagi.
Rahsia
Jadi, untuk menangani masalah tabiat buruk sebenarnya bukanlah dengan melarikan diri atau tumpuan kita daripada masalah. Cara sebenarnya ialah dengan berdepan dan cakna dengan situasi masalah tersebut dan yang penting, adalah untuk kita meletakkan satu jarak antara diri kita dengan pemikiran yang menyebabkan kita melakukan tabiat buruk
Mudah sahaja cara. Gunakan 2 ayat ini:
"Saya ada pemikiran bahawa..."
"Saya sedar yang saya ada pemikiran bahawa..."
Sebagai contoh, apabila kita nak merokok, cepat-cepat fikir bahawa
"Saya fikir bahawa saya sedang stress, maka saya perlukan rokok". Ayat ini sahaja telah meletakkan kita pada 1 jarak yang akan membantu kita untuk tidak terus merokok. Ia menunjukkan sebab kenapa kita perlu merokok dan membantu untuk kita membuat penilaian kepada perbuatan tersebut
"Saya sedar yang saya fikir bahawa saya sedang stress, maka saya perlu merokok". Di peringkat kognitif, ayat ini memberikan kita jarak yang lebih jauh daripada impuls kita untuk merokok, dan memberikan kita kesedaran dan menilai bahawa adakah emosi yang yang kita alami ketika itu benar-benar memerlukan rokok sebagai penyelesaiannya
Ini semua adalah konsep kawalan kendiri (self-regulation) yang banyak diamalkan dalam psikologi. Kajian menunjukkan bahawa apabila seseorang itu berupaya untuk melaksanakan kawalan kendiri dan pengurusan kendiri, maka kadar untuk mereka berubah kepada tingkahlaku positif adalah lebih tinggi. Di sini kita dah nampak betapa pentingnya 2 elemen ini dalam kehidupan seharian kita. Sebaliknya, kalau kita membiarkan hidup kita berjalan dan berlalu tanpa sebarang aspek kawalan kendiri, kita akan hidup dalam mod pemanduan automatik dan ini akan menyebabkan lebih banyak perkara buruk terjadi berbanding yang baik.
Kawal diri, gunakan cara yang betul, hidup akan lebih sejahtera.
Sumber: Video
Ulasan
Catat Ulasan
Komen yang nak diletakkan lepas 14 hari selepas entri tu diterbitkan, akan diletakkan dalam mod pengesahan terlebih dahulu untuk mengelakkan spamming