Hai mak pak dan cikgu semua! Korang mesti ada pengalaman berhadapan dengan anak-anak yang menunjukkan temper tantrum, kan? Biasanya memang anak-anak kecil terutamanya yang masih belum boleh menzahirkan emosi mereka melalui kata-kata disebabkan faktor umur ataupun anak-anak MBK kita yang mempunyai masalah perubatan akan menunjukkan tingkah laku ini.
Adakah ini normal? Untuk anak menunjukkan tantrum adalah sesuatu yang normal dan rutin kepada ibu bapa yang mempunyai anak yang berumur bermula 1 tahun dan kemudian akan semakin berkurang apabila umur anak menjelang 4 tahun dengan bimbingan dan didikan yang betul. Untuk anak yang mempunyai kelainan upaya, keupayaan kendiri untuk mengawal tantrum adalah bergantung kepada pengesanan awal dan intervensi awal yang dilaksanakan pada umur perkembangan kanak-kanak tersebut iaitu 0-6 tahun.
APAKAH MAKSUD TANTRUM?
Apabila menyampaikan maklumat kepada orang lain yang tidak selalu berjumpa dengan kanak-kanak tersebut, terutamanya doktor dan ahli terapi, elakkan gunakan perkataan tantrum kerana perkataan tersebut membawa maksud yang sangat luas dan kerap digunakan dengan salah terutamanya di media sosial. Tantrum ialah satu label yang sebaiknya kita elakkandan gunalah perkataan yang menunjukkan tingkah laku bermasalah tersebut dengan jelas.
Tantrum biasanya digunakan untuk menunjukkan tingkahlaku berikut:
- Menangis yang berpanjangan dan kadang-kala diselangi dengan jeritan; atau merengek yang berpanjangan
- Perbuatan mencederakan diri sendiri atau orang lain
- Kedua-dua di atas
Dalam profesion aku sebagai ehem ehem, "tantrum" ni memang sebahagian dari perkara rutin yang memang kena hadap setiap hari. Jadi, apabila ibu bapa ada laporkan yang anak mereka ada tantrum, pertama sekali ialah kita kena selidik umur anak tersebut. Kedua, walau apa pun umur anak tu dan apa pun keupayaan mereka, intervensi wajib dilaksanakan mengikut kesesuaian umur kerana masalah tingkah laku tersebut akan menentukan kesediaan mereka untuk mengikuti pelajaran di sekolah. Ya, walaupun anda memilih untuk
menyekolahkan anak secara sendiri di rumah.
CARA MENANGANI 'TANTRUM' ANAK
1. Cari punca masalah
Antara punca kanak-kanak menunjukkan tantrum ialah kekangan mereka untuk memberitahu kita tentang keadaan diri mereka. Mungkin mereka penat, mungkin mengantuk, lapar, dan sebagainya. Sebagai ibu bapa, adalah perlu untuk kita selidik satu-satu apakah punca yang mungkin menyebabkan mereka menunjukkan masalah tingkah laku tersebut. Pegang pada tangan, dan dengan suara yang jelas tapi lembut, tanya jika ada sakit di mana-mana
2. Memahami dan Terima Kemarahan Anak
Anak marah. Pak marah. Mak marah. Maka, runtuhlah keluarga dan anak tu akan membesar meneruskan kitaran sebagai seorang yang pemarah. Apa yang kita boleh buat ialah kita cuba memahami yang perasaan marah tu adalah sesuatu yang normal dan kita cuba untuk selesaikannya sebaik mungkin. Apabila semua marah, takkan ada isu yang akan dapat diselesaikan. Mak pak memang main peranan yang penting di sini dalam menunjukkan teladan dan berkomunikasi dengan anak. Keengganan mak pak untuk berhadapan dengan masalah akan menimbulkan kemarahan dan melarat kepada perkara yang tak diingini
3. Alihkan Perhatian
Sebagai ahli dalam bidang pun aku tak mahir bab ni tapi isteri aku sangat hebat. Bila anak menangis mahukan sesuatu yang dia tak boleh dapat, megalihkan perhatian dia kepada sesuatu benda lain di persekitaran adalah sangat membantu. Apabila anak menangis seperti di pasaraya, tumpuan mereka adalah pada objek tersebut sahaja dan ini akan menambah perasaan kesal dalam hati anak tu. Sudahlah tak dapat, masih juga kena dok tercongok kat situ tengok benda yang dia tak dapat. Jadi, tunjukkan persekitaran luar pada dia seperti burung, kereta, pokok, dan sebagainya.
4. Lantak Pi
Membiarkan anak melalak pun satu teknik yang berkesan juga. Biar la kat situ nak menangis berapa lama pun dan teknik ni berkesan terutamanya jika anak mahukan perhatian kita. Bila kita dah putuskan hubung kait antara masalah tingkah laku dengan perhatian, maka perbuatan tu takkan berlaku lagi.
5. Jangan Balas
Yang ini biasa ditunjukkan oleh para bapak. Amat penting untuk kita kawal emosi sendiri. Anak tu masih kecil dan dia perlu bimbingan. Awak dah besar dan tua dan sepatutnya boleh faham bahawa anak kecil tu akan meniru tingkah laku kita. Jadi, mak pak kena pandai kawal emosi sendiri untuk tak keruhkan keadaan dan untuk mendidik anak
Bila anak menjerit, kita kena cakap pada mereka "cakap perlahan-lahan dengan bapak, kenapa awak menangis" dan bukannya "BERHENTI MENANGIS KALAU TAK BAPAK TIBAI"
Bila anak memukul, cakap pada anak dengan nada tenang, "pukul ibu tak baik. Bapak nak awak berhenti sekarang dan letak tangan di bawah". Dalam sesetengah keadaan, situasi ni memerlukan dua orang dewasa di mana seorang akan berkomunikasi dan seorang lagi mengawal tingkah laku fizikal anak. Walau bagaimanapun, pegang pada prinsip ini - jangan balas. Anak jerit atau pukul awal, jangan balas tapi sebaliknya, tunjuklah cara yang betul untuk mereka amalkan kelakuan yang baik.
***
Mak pak semua, apa pun keupayaan anak kita, mereka adalah anugerah dan tanggungjawab kita. Apa yang kita buat semasa mereka masih kecil akan memberikan impak yang sangat besar apabila mereka meningkat dewasa nanti. Fikirlah, apa yang korang rasa mak pak korang boleh perbaiki masa besarkan korang? Itulah yang korang kena buat dengan anak.
Luangkan masa, bercakap dengan nada tenang tanpa ugutan, berikan perhatian, dan sebagainya. Sekarang kita ada peluang tu. Kita sendiri dah jadi mak pak dan kemenjadian anak tu bergantung kepada tindak-tanduk kita pada hari ini, pada ketika ini.
Cara-cara mengatasi tantrum ini diharapkan dapat bantu mak pak serba sedikit. Tapi aku faham, yang masalah kita ni bukan boleh pukul rata semua. Sekiranya korang ada masalah berkaitan anak yang memerlukan khidmat nasihat khusus, sila klik pautan di bawah ini.
Ulasan
Catat Ulasan
Komen yang nak diletakkan lepas 14 hari selepas entri tu diterbitkan, akan diletakkan dalam mod pengesahan terlebih dahulu untuk mengelakkan spamming