Assalamualaikum mak pak semua. Antara masalah besar bila kita ada anak berumur 2 tahun ke atas ni ialah bila kita bawa ke pasaraya. Masa kita tengah pilih sayur atau tengah berbaris nak bayar tulah tiberr anak capai cekedis untuk dibawa balik ke rumah, berlari sana-sini sedangkan kita ni nak jaga kesihatan oral (mulut dan gigi) dia dan keselamatan dia. Kalau tak dibagi, meraunglah dia atas lantai tu dan lagi teruk kalau dibaling-balingnya barang di rak sampai rosak.
Nota tambahan: Cekedis dan gula-gula bukan sahaja merosakkan kesihatan oral anak anda malah adalah perosak tingkahlaku dan perkembangan otak anak-anak.
Jadi, apa yang kita sebagai mak pak boleh buat ialah dengan menggunakan satu bahan ajaib yang jarang digunakan orang sejak kemasyhuran penggunaan telefon pintar ni iaitu senarai membeli-belah atau bahasa mad sailornya - shopping list. Disebabkan anak aku baru berumur 3 tahun, maka aku gunakan gambar seperti contoh di bawah.
Cara-cara gunakan senarai untuk kanak-kanak berumur 2 tahun ke atas
1. Sampaikan Tugas Anak
"Aysha, hari ni kita nak beli barang. Aysha kena cari barang-barang ni tau. Okay jom tengok senarai ni ada tomato, susu coklat, terung, dan lobak merah".
"Okei"
"Nanti dah siap baru kita bayar. Okay?"
"Okei dedi"
Ni contoh je lah bergantung pada cara korang berkomunikasi dengan anak. Yang penting, anak tahu kenapa dia dapat senarai tu dan apa fungsi dia dalam aktiviti seharian. Jangan takut kalau anak ada kelewatan pertuturan atau bahasa. Insya Allah dia faham dengan bimbingan mak pak. Apa yang penting? Kerjasama!
2. Letakkan gambar sebenar
Pada fasa pekembangan ini, anak masih belum boleh membaca (dan tak digalakkan pun untuk mahir membaca). Maka, rangsangan yang baik untuk berikan arahan secara bercetak adalah melalui kaedah visual iaitu dengan menggunakan gambar. Pastikan gambar yang anda gunakan merupakan gambar barang yang akan dibeli. Maknanya, kalau nak suruh anak cari lobak merah, janganlah letak sana gambar lobak putih.
Mak pak digalakkan untuk gunakan dalam 3-4 barang sahaja sebab kita bukan buat benda ni sekadar untuk dia ada sesuatu yang dibuat masa kita bertungkus-lumus beli barang nak bagi depa makan, tapi juga untuk perkembangan kognitif. Menurut kajian, bilangan barang yang boleh diingat oleh otak manusia adalah sebanyak 5+/-2 iaitu dalam lingkungan 3 ke 7.
3. Hafal dan Uji
Untuk permulaan latihan kognitif menghafal, adalah baik untuk kita mulakan dari peringkat bawah supaya anak lebih rasa dirinya mempunyai kemampuan untuk laksanakan tugas tu. Lepas tu sambil jalan bolehlah kita tanya
" Aysha nak beli apa ya hari ni?"
" Aysha nak beli tomato, susu, terung, carrot"
"Oh, Aysha nak cari lobak merah ya. Jom kita cari kat sana tu"
Nampak tak elemen pendidikan yang ada dalam dialog di atas? Bukan sahaja ada unsur kognitif malah pertuturan pun dapat dipupuk apatah lagi bila anak korang anak mad sailor macam anak aku. Lobak ajar, carrot pun ajar tapi lidahnya mudah sebut carrot huhu
3. Tanda "Siap" Sebagai Ganjaran
Apabila jumpa sahaja barang yang nak dibeli. Tandakan pada kotak (rujuk gambar). Ini kalau anak dah pandai pegang pen la. Sepatutnya pada umur 3 tahun memang dah pandai pegang pen, buat garis tegak, garis melintang, dan bentuk tambah mengikut carta perkembangan motor halus yang sepatutnya.
Kalau menulis merupakan satu kesukaran pada anak dan pengurusan pada mak pak, boleh je gunakan sticker (pelekat). Pastikan ya pelekat tu bukan gambar kartun yang dia minat. Kalau anak suka ya amat unicorn, maka elakkan guna pelekat unicorn! Guna pelekat kosong atau imej lain yang boleh dijadikan tanda siap.
Tanda siap ni amat penting bagi menunjukkan anak dah berjaya buat sesuatu. Dalam behaviorisme, kita panggil benda ni sebagai ganjaran positif dan ia merupakan satu teknik yang sangat bagus dalam pembentukan tingkahlaku/sahsiah anak menggunakan cara bimbingan positif. Awak buat kerja bagus, ini bukti awak dah siap. Nah, pelekat sebagai hadiah.
Mungkin ada mak pak yang nak berhujah "bukan ke patut kita bagi sesuatu yang anak suka sebagai ganjaran?". Jawapannya senang aje - kalau dia dah dapat apa yang dia nak, akan wujud satu keadaan yang dinamakan satiety atau 'kenyang' di mana ganjaran tak lagi beri kesan yang sepatutnya. Jadi, lebih baik kita beri ganjaran yang hampir sahaja. Kita nak anak kita berusaha keras, kan?
4. Ikhlaskan Hati
Aku akui yang nak buat natang ni memang memerlukan masa dan kos (mesin pencetak dan kertas di rumah) juga. Kalau nak jimat, kita boleh lukis sendiri juga dan jadikan itu sebagai aktiviti mewarna anak. Tapi itulah, kita memang kena bentuk semula pemikiran kita dan ikhlaskan hati supaya kita tak terasa ini sebagai satu beban. Tapi, fikirlah ia sebagai satu bentuk sumbangan dan bimbingan kepada anak yang kita buat demi masa depan mereka.
Insya Allah lain kali aku kongsikan pasal ubah pemikiran ni
Selamat mencuba!
Ulasan
Catat Ulasan
Komen yang nak diletakkan lepas 14 hari selepas entri tu diterbitkan, akan diletakkan dalam mod pengesahan terlebih dahulu untuk mengelakkan spamming